Salam Takziah, Imam Masjid Negara Kembali Ke Rahmatullah
Imam Masjid Negara, Ustaz Khisamudin Ismail, 53, meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi di rumahnya dekat Kota Puteri, Batu Arang, Selangor akibat komplikasi jantung.
Berita dukacita itu dilaporkan di Facebook Masjid Negara Malaysia pagi tadi.
“Dukacita dimaklumkan bahawa pegawai kami Ustaz Khisamudin Ismail telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 4 pagi di rumahnya di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor ( komplikasi jantung).
“Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atas r0hnya dan ditempatkan dalam kalangan solehin,” menurut catatan itu.
Masjid Negara berkata pemergian Imam Masjid negara itu adalah satu kehilangan seorang imam dan guru yang penuh dedikasi terhadap tugasnya.
“Didoakan agar isteri, anak-anak dan ahli keluarga bersabar menghadapi ujian ini.”
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad al-Bakri turut mengucapkan takziah kepada keluarga mngsa.
Zulkifli berkata, sebelum ini beliau ada menyuarakan hasratnya untuk menziarahi Khisamudin, namun tidak kesampaian.
“Saya ada memaklumkan kepada beliau untuk menziarahinya bila ada masa yang sesuai. Namun, perancangan Allah SWT sudah pasti ada hikmahnya. Takziah diucapkan kepada keluarga Ustaz Khisamudin Ismail, Imam Masjid Negara,” katanya dalam catatan di Facebook.
Salam takziah kami ucapkan buat ahli keluarga, semoga r0hnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin. Alfatihah. – Sumber dipetik dari MYKMU, FMT