Capten Faiz Glamour meninggal dunia akibat serangan jantung
Presiden Empire Rock Kapak Malaysia, Capten Faiz Glamour, 46, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, awal pagi tadi.
Pembantu peribadinya dikenali Sharifah Zalifah Syed Ismail berkata mereka dalam perjalanan balik ke Pulau Pinang dari Muar, Johor selepas melawat ibu Allahyarham yang sakit kebocoran usus dan dirawat di Hospital Muar.
"Kami singgah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah untuk berehat dan segarkan badan. Sebaik sampai dia (arwah) berjalan keluar dan duduk di kerusi panjang.
"Ketika itu keadaannya nampak resah. Kami bertanya apa sebabnya dan dia mengadu sakit dada. Tak lama selepas itu, dia tumbang atas kerusi. Suami saya ajarkan arwah mengucap sehinggalah dia hembuskan nafas terakhir," katanya.
Sharifah atau Ifah berkata, terdahulu mereka ke Muar sejak beberapa hari lalu selepas Allahyarham dimaklumkan ibunya sakit dan dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan segera.
"Kami dapat berita emaknya sakit kebocoran usus pada malam Rabu dan jam 1 pagi sudah bertolak dari Pulau Pinang menuju ke Hospital Muar.
"Ketika sampai, doktor dah nak masukkan emak arwah ke bilik bedah jam 8 pagi dan Faiz sempat berjumpa emaknya hanya di pintu masuk bilik bedah.
"Ketika itu adiknya yang ada di hospital turut bantu dia yang berkerusi roda untuk berjumpa emak mereka. Dia (Faiz) masih boleh jalan, tapi pergerakan agak lambat," katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, mereka mengambil keputusan tinggal selama dua malam di Muar menanti sekiranya emak Faiz sembuh agar dapat berjumpa semula.
"Doktor beritahu emaknya dah sedar tapi tak dibenarkan melawat. Jadi, kami buat keputusan balik ke Pulau Pinang semalam dan singgah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah sekitar jam 1 pagi.
"Dalam perjalanan, dia duduk di belakang sambil buat panggilan video dengan kawan-kawan dan balas mesej WhatsApp.
"Dua minggu lalu, Faiz kena strok dan dia dalam proses pemulihan. Sejak itu dia jarang tengok telefon, tapi semalam sikapnya amat lain," katanya.
Kematian Faiz atau nama sebenar Mohd Ismail Mt Tap disahkan oleh petugas ambulan yang datang selepas itu.
"Doktor sebenarnya mengesyaki Faiz menghidap sakit jantung dua bulan lalu dan doktor rancang nak buat pemeriksaan lanjut pada Mac nanti untuk kenalpasti sama ada jantungnya tersumbat atau tidak.
"Jenazah Allahyarham Faiz perlu menjalani bedah siasat pagi ini dan selepas dimandi dan disembahyang akan terus dibawa ke Muar untuk dikebumikan," katanya.
Sehubungan itu, Empire Rock Kapak Malaysia adalah sebuah kelab yang menganjurkan aktiviti untuk artis dan kumpulan rock era 1990-an bersama peminat.