Wanita maut dilanggar SUV, sempat rakam ‘live’ FB ketika bonceng motor


Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangi suaminya dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 10 Jalan Kunak-Tawau, semalam.

Isteri meninggal, suami dan anak cedera ringan

Menerusi laporan dari Berita Harian, wanita yang juga warganegara Indoensia itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya yang berusia 39 tahun serta anak, 9 tahun mengalami kecederaan ringan.

Memetik dari kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Daerah Kunak, Superitendan Sabarudin Rahmat, beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dan Proton X70.

“Setibanya di tempat kejadian pemandu Proton X70 dikatakan, telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan pada masa sama, motosikal yang ditunggang bersama dua pembonceng dari arah bertentangan cuba membelok ke kanan untuk masuk ke simpang kanan jalan sebelum dilanggar.
“Akibat pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal telah tercampak ke bahu jalan manakala kedua-dua pembonceng dan motosikal terseret kira-kira sepuluh meter,” katanya.

Sempat buat live sebelum ajal

Apa yang membuatkan warganet sedih adalah rakaman terakhir siaran langsung wanita itu di laman Facebook sebelum kejadian berkenaan berlaku.

Dapat dilihat dia memegang telefon bimbit semasa membonceng suaminya dan secara tiba-tiba rakaman siaran langsung bertukar sudut menghala ke arah langit.

Melalui rakaman tersebut, dapat didengar suara kanak-kanak dipercayai anaknya menangis memanggil wanita itu yang mungkin sudah tidak sedarkan diri.

Semoga lebih berhati2

Video rakaman siaran langsung itu turut dikongsikan semula di TikTok dan mendapat perhatian orang ramai.

Rata-rata meluahkan rasa sebak dengan kejadian terbabit dan dalam pada masa yang sama mendoakan agar ahli keluarga kuat menghadapi dugaan yang cukup berat ini.

Ajal menjemput tak kira masa

Semoga ditempatkan di kalangan orang beriman

Takziah buat keluarga mangsa

Hanya penyebab…semua dah tertulis

 

Difahamkan, pemandu SUV dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saksi kejadian serta kes disiasat mengikut Sek. 41(1) APJ 1987.

Sumber: Berita Harian (Abdul Rahemang Taiming), Facebook Rina Angko, TikTok @masni_nik