Hadapi masalah rumah tangga punca wanita berniqab cuba terjun jambatan


Beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai cubaan seorang wanita berniqab terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu.

Namun, tindakannya itu gagal kerana terhalang dengan jubah yang dipakai sebelum segera dipegang orang ramai dan diserahkan kepada pihak polis.

Terbaharu, Harian Metro melaporkan punca wanita berusia 54 tahun itu bertindak sedemikian kerana mengalami masalah rumah tangga. Hal ini disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud hasil daripada siasatan secara lisan.

Rosdi berkata, mangsa yang juga seorang guru turut menghidap kemurungan.

“Mangsa tidak menaiki kenderaan ketika ditemui dan dipercayai berjalan dari arah Kota Bharu menghala ke Tumpat. 
“Mangsa cuba terjun disebabkan masalah rumah dan kemurangan.”ujarnya.

Tambah Rosdi, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan wanita tersebut dirujuk ke hospital.

Sebelum ini, mangsa dipercayai terselamat apabila kakinya tersekat pada jubah yang dipakainya sebelum segera dipegang orang ramai. Malah, ada sumber mengatakan mangsa  menangis teresak-esak sambil menyalahkan diri sendiri dengan berkata ‘saya jahat’ tanpa menerangkan punca dan perkara sebenar.

Sumber: Harian Metro, Berita Harian