12 tahun bersama, masalah kewangan punca sebenar Hasnol cerai isteri
Masalah kewangan menjadi punca sebenar bagi penyanyi, Hasnol dan isteri Marina Mohin mengambil keputusan untuk bercerai selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut laporan mStar Online, penyanyi berusia 52 tahun itu berkata, perkahwinan mereka mula goyah disebabkan perkara itu sehingga sukar mewujudkan persefahaman.
“Saya mengakui sudah lama tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Tidak dinafikan keadaannya (Marina) lebih stabil berbanding diri saya… mana maruah saya sebagai lelaki kalau saya tidak dapat menanggung segala-galanya?
“Jadi, saya mengambil keputusan untuk mengundur diri,” kata pemilik nama Hasnol Hassan Ariff itu.
Bagi hak penjagaan anak perempuan mereka, penyanyi Laguku Untukmu itu menyerahkan kepada bekas isterinya selain berharap dirinya mampu meraih pendapatan tetap.
“Bekas isteri lebih layak dalam hak penjagaan anak kami kerana dia mempunyai kerja tetap.
“Insya Allah, jika dibuka pintu rezeki semula, saya akan bertanggungjawab bukan hanya anak saya bersama Marina tetapi anak-anak yang lain dengan bekas isteri pertama,” ujarnya lagi.
Terdahulu, dia melafazkan cerai talak satu terhadap wanita berusia 52 tahun itu di Mahkamah Syariah Daerah Hulu Langat, Bangi pada tengah hari tadi.
Untuk rekod, Hasnol memiliki tiga anak iaitu Aqeef Hayyat, 27, Aqeef Hilman, 24 dan Hanna Aeesya, 18, hasil perkahwinan pertama dengan bekas isteri Akhmarzuraikha Salleh.
Maria pula mempunyai tiga cahaya mata iaitu Zafirah, 28, Ilya Zulaikha, 27 dan Muhammad Aliff Imran, 22, hasil perkahwinan dengan bekas suami pertama.
Sumber: mStar Online (Ain Norman)