Mike Foong pelajar mualaf, buta berjaya hafaz 30 juzuk al - quran


KERJA keras seorang mualaf yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Tan Mike Foong untuk bergelar seorang hafiz al-Quran akhirnya menjadi kenyataan.

Semalam, pemuda yang mesra disapa sebagai Mike itu berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran keseluruhannya.

Bukan setakat itu, Mike, 25, juga telah menulis 30 juzuk al-Quran dengan tulisan braille sebagaimana yang telah ditetapkan dalam proforma Program Diploma Darul Quran JAKIM

Perkara itu dimaklumkan laman Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berkongsi pautan Facebook Darul Quran JAKIM.

“10 Januari 2022, Alhamdulillah, saudara Tan Mike Foong telah berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran keseluruhannya.

“Bukan setakat menghafaz, saudara Mike juga telah menulis 30 juzuk al-Quran dengan tulisan braille sebagaimana yang telah ditetapkan dalam proforma Program Diploma Darul Quran JAKIM,” tulis kenyataan JAKIM, hari ini.

Mengikut keterangan Facebook Darul Quran JAKIM, Mike pada 2019 seorang OKU penglihatan dari Program Sijil Asas Tahfiz institusi berkenaan telah berjaya menghafaz sebanyak 10 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun.

Katanya, Mike yang kini berada di semester akhir Program Diploma Tahfiz Al-Quran & Al-Qiraat Darul Quran JAKIM akan diraikan bersama-sama kawan-kawannya dalam Majlis Khatam Hafazan Al-Quran yang dijadualkan pada 5 Mac 2022.

“Hari ini: 10 Januari 2022, alhamdulillah, saudara Mike telah berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran keseluruhannya.

“Insya-Allah, saudara Mike yang kini berada di semester akhir Program Diploma Tahfiz Al-Quran & Al-Qiraat Darul Quran JAKIM akan diraikan bersama-sama kawan-kawannya dalam Majlis Khatam Hafazan Al-Quran yang dijadualkan pada 5 Mac 2022. Doakan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya.

Kisah Mike pernah tular pada 2019. FOTO FACEBOOK JAKIM

Kisah Mike pernah tular pada Julai 2019 selepas dia menamatkan pengajian Sijil Asas Tahfiz selepas menghafaz 10 juzuk al-Quran di Darul Quran, JAKIM di Kuala Kubu, Bharu.

Mike yang memeluk Islam sejak 2015 pada ketika itu mendapat sokongan kuat ibunya Ang Bee Cheng yang setia menemani malah sanggup berulang alik menguruskan anaknya yang menuntut di institusi berkenaan walaupun berlainan agama dengan anaknya.