"Terpksa Ditiarapkan", Vokalis Samudera, Norazmi Meninggal Dunia Al-Fatihah


Vokalis baharu kumpulan Samudera, Norazmi Mohd Abdullah atau lebih dikenali Aimi, 48, meninggal dunia akibat Covid-19, pada jam 10.12 malam di Hospital Sungai Buloh, semalam.

Berita sedih itu dikongsi ketua kumpulan Samudera, Mohd Azhar Ropei, yang memberitahu arwah dimasukkan ke hospital itu selepas keadaan kesihatannya semakin merosot pada Ahad lalu.

"Mulanya, sebelum ini arwah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sebaik disahkan positif.

"Dia meminta dibawa ke sana kerana tidak mahu merisikokan keluarganya terutama anak yang masih kecil. Bagaimanapun, arwah dimasukkan ke hospital semula selepas paras oksigen menurun dan terpaksa ditiarapkan," katanya.

Menurutnya, dia kemudian mendapat panggilan daripada ibu Allahyarham yang memaklumkan Aimi sudah meninggal dunia, semalam.

Azhar memberitahu mereka sepatutnya dalam perancangan merakamkan single baharu. Bagaimanapun, hasrat itu terbantut kerana arwah disahkan positif Covid-19.

"Lagu sudah disiapkan, tunggu hendak memasukkan vokal saja. Namun kami reda, Allah lebih menyayangi dirinya," katanya.

Allahyarham Aimi menyertai Samudera sebagai vokalis baharu menggantikan penyanyi asal, Sarfen Husin atau Ujang yang meninggal dunia, empat tahun lalu.