Anak mampu turut 2 hajat sebelum ibu meninggal, tapi terkilan gagal tunai ‘persediaan kain kafan’ kerana tak sedia hilang insan tercinta
RUMAH agak sukar untuk dipanggil ‘rumah’ apabila tiada lagi ibu di dalamnya.
Perginya seorang ibu menghadap Ilahi sudah tentu memberi kesan mendalam terutama sekali bagi anak-anak dan ahli keluarga lain.
Situasi ini turut dialami oleh Nor Azuana Masshar, 36, yang berkongsi kisah mengenai pemergian ibunya pada 6 Mei lalu.
Posting wanita yang mesra disapa Ayu ini menjadi tular apabila dia memuat naik gambar barangan set lengkap urus jenazah yang disiapkan awal oleh ibunya Muhyizan Muhyi, 61, sebelum ajal datang menjemput tetapi dia dan adik-beradik tidak berkesempatan untuk menggunakannya.
“Sebelum dapat tahu mak ada kanser, dia datang rumah saya di Melaka. Dia sanggup datang pandu kereta sendiri dari Kedah sebab nak jaga anak saya yang juga cucunya sebab pengasuh saya positif Covid-19. Mak ada mengadu yang dia sakit perut sangat masa dalam perjalanan ke rumah saya.
“Malam tu sakit dia masih teruk jadi mak terpaksa dibawa ke Hospital Besar Melaka. Mak terpaksa ditahan di wad untuk buat CT scan dan pagi esoknya lepas dapat keputusan doktor beritahu mak menghidap kanser usus tahap empat. Bila doktor check baru tahu yang kanser mak dah pecah sampai hati, perut dan usus mak dah pecah. Sebab tu kanser mak boleh dikesan dengan cepat.
“Lapan hari mak kena tahan dekat hospital dalam keadaan tak sedarkan diri. Bila dia sudah semakin pulih pada 14 Mac doktor benarkan dia balik. Jadi saya ambil keputusan jaga mak dekat rumah di Melaka. Saya tukar lampin, suap makan, mandikan dan juga tukar beg stoma mak. Walaupun berulang-alik sebab kerja tapi setiap hari saya tak sabar nak balik rumah jaga mak,” ujarnya ketika dihubungi mStar.
Permintaan arwah untuk memakai baju raya sedondon tercapai.
Jelas wanita yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik ini, ibunya ada menyatakan dua permintaan terakhirnya sebelum menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Melaka.
Walaupun dua permintaan terakhir ibunya itu dapat ditunaikan namun tanpa disedari masih ada ‘wasiat’ terakhir arwah tidak berjaya mereka laksanakan.
“Mak ada pesan bulan puasa hari tu, raya tahun ni dia nak semua ahli keluarga sambut betul-betul sebab mungkin ni kali terakhir boleh sambut sekali. Kami (Ayu dan adik-adiknya) tak percaya dan anggap saja mak bercakap perkara karut. Selain tu, mak cakap tahun ni raya dia nak semua pakai baju raya sedondon warna emerald green.
“Semua tu dah tinggal kenangan saja. Saya dah tak boleh buat semua perkara yang melibatkan mak sebab mak dah pergi dulu tinggalkan saya dan adik-adik.
NOR AZUANA MASSHAR
“Kami ikut saja permintaan mak untuk pakai warna baju macam dia nak. Tapi masa sambut raya saya perasan mak tak jamah langsung makanan raya. Tak sangka masa 5 Syawal (Jumaat) , mak meninggal dunia. Ayah buat keputusan untuk kebumi mak dekat kubur kampung dia lahir di Temoh, Perak.
“Lepas seminggu mak meninggal, kami balik ke rumah di Kedah untuk kemas rumah dan barang-barang mak. Tiba-tiba masa tengah kemas barang, adik bongsu saya jumpa set lengkap persiapan urusan jenazah mak dalam almari. Sebelum ni memang dia ada beritahu pasal barang ni tapi kami tak ambil peduli sangat. Tapi lepas tengok dia siap tulis nota pada setiap kain tu, kami jadi sebak pula bila teringatkan mak,” luah Ayu.
Mengulas mengenai set tersebut, arwah dilihat sudah membuat persiapan awal sebelum meninggal dunia dengan menyediakan beg dengan set kain kafan serta persediaan lain seperti telekung dan tilam jenazah.
Berdasarkan perkongsian gambar, ibu Ayu menulis, ‘kain batik panjang tutup mak’, ‘tudung putih tutup muka mak’, ‘kain batik lapik tilam’ dan ‘plastik lapik tilam’.
Malah, arwah juga sempat menulis nota – “Pohon tanam jenazah mak secepat mungkin, Tidak perlu tunggu sesiapa.”
Ayu yang bekerja di Hospital Besar Melaka berkata, dia berasa terkilan apabila mengambil mudah pesanan ibunya sebelum ini kerana dia sendiri belum bersedia untuk kehilangan insan yang paling dicintainya itu.
Bagaimanapun Ayu menegaskan dia sedar bahawa adalah tidak baik untuk mereka sekeluarga terus meratapi pemergian ibunya yang sudah tiada.
Arwah ibu Ayu bersama bapanya.
Bagi ibu kepada seorang cahaya mata ini, hidup mesti diteruskan walaupun dia bakal merindui momen-momen seperti menelefon ibunya bagi bertanyakan resepi apabila dia mahu memasak sesuatu masakan mengikut cara arwah ibunya.
“Semua tu dah tinggal kenangan saja. Saya dah tak boleh buat semua perkara yang melibatkan mak sebab mak dah pergi dulu tinggalkan saya dan adik-adik. Tapi yang pasti mak saya dah tak perlu tanggung derita sakit kanser usus ni lagi.
“Selain rajin berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, mak selalu bersedekah dekat orang lain. Mak pergi pun pada hari yang mulia iaitu hari Jumaat. Waktu mak meninggal tu, Melaka dibasahi hujan lebat-selebatnya. Semua orang cakap kematian mak ni sebagai kematian yang dicemburui.
Antara nota-nota yang ditinggalkan pada set urus jenazah.
“Memang cukup rasa kehilangan bila kita dah tak ada ibu di sisi. Bagi saya, dia adalah ibu terbaik buat saya dan keluarga. Saya bangga memiliki seorang ibu macam dia dan bersyukur sebab Allah dah pinjamkan dia untuk kami rasai kasih sayang seorang ibu walaupun tak panjang,” ujarnya.
Sumber : Mstar