‘Pilu’- Remaja mavt kemal4ngan ketika dalam perjalanan jadi guru mengaji
PENGAKHIRAN yang mulia. Itu gambaran tepat buat Muammar Ashraf Ahmad Faizul, 21, yang kematiannya dicemburui dan menjadi bualan ramai.
Pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Sungai Karang, Kuantan pada Jumaat lalu sangat lancar dan diiringi ribuan orang dari dekat atau jauh termasuk guru yang pernah mendidiknya, rakan pengajian, kenalan, keluarga serta penduduk setempat.
Bapanya, Datuk Ahmad Faizul Ghazali, 44, berkata, anak ketiga daripada sembilan beradik itu memiliki sifat yang sangat istimewa.
“Bukanlah tujuan saya berbangga mendedahkan sifat anak kepada khalayak bagi saya semua orang ada kebaikan masing-masing cuma ini lebih kepada inspirasi, dakwah dan teladan sekali gus menjawab pertanyaan (kebaikan Muammar) diajukan kepada kami sebelum ini.
“Muammar adalah seorang anak yang sangat penyayang kepada orang tua, ibu bapa dan adik-beradiknya, malah kasih sayangnya dan peranannya seperti anak sulung.
“Rutinnya, dia sering bangun malam menunaikan solat taubat dan hajat untuk keselamatan kami semua.
“Muammar juga lebih suka memilih berkawan dengan orang terbuang (yang tidak dipandang atau dijauhi orang lain) itu caranya memuliakan dan memberi sokongan terhadap orang itu.
“Keadaan jasad Muammar suci bersih. Wajahnya sangat tenang seperti tidur nyenyak.
“Urusan pengebumiannya sangat lancar dan cepat serta dipimpin seorang tokoh al-Quran dari Syria, Syeikh Mustofa Zaidan yang turut bersama sejak awal lagi.
“Kehilangannya memang tiada galang ganti dan suatu kehilangan besar buat kami, tetapi kami sangat terharu mengenangkan cara dia pergi dengan segala kurniaan Allah ini sedikit sebanyak membaluti segala kedukaan kami semua.
“Kami reda dan menganggap ada hikmahnya mudah-mudahan dapat menumpang syafaat darinya,” katanya sambil menjelaskan anaknya itu adalah penuntut Maahad Tahfiz Al-Quran Pandang Rengas, Kuala Kangsar.
Ahmad Faizul berkata, memang ada perubahan ketara Muammar tunjukkan sejak sebulan sebelum pemergiannya lagi, namun mereka sekeluarga tidak terlalu memikirkannya.
“Sehari sebelum kemalangan, dia beriya-iya minta mengadakan majlis sambutan hari lahirnya walaupun tarikh lahirnya pada 7 Ogos.
“Dia mendesak supaya buat awal sebab macam tidak sempat katanya.
“Sebagai bapa, saya belilah barang keperluan termasuk kek dan belon demi menuruti kehendaknya.
“Pada malam itu, dia ada memberitahu kek ini yang terakhir dia makan, selepas ini tidak dapat makan lagi.
“Kami juga tidak terfikir apabila dia juga memaklumkan bulan Ogos nanti tidak sempat menyambut kelahirannya selain kerap meminta merakam gambar kenangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, Muammar kemalangan pada keesokkan harinya ketika dalam perjalanan menuju ke tempat dia berkhidmat sebagai guru mengaji dan asas pengajian agama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Muammar menunggang motosikal dari rumah kami di Sungai Karang mengiringi datuknya yang berkereta ke rumahnya di Batu Hitam, Beserah pada 6.30 petang, 7 Julai lalu.
“Selepas selamat menghantar datuknya pulang, dia ke tempat mengajar di Cenderawasih kira-kira 10 kilometer dari Batu Hitam sebelum terbabit dalam kemalangan di situ.
“Motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan hingga menyebabkan bahunya patah dan parah di kepala,” katanya.
Menurutnya, Muammar koma selama dua hari selepas selamat menjalani pembedahan membuang pendarahan di kepalanya.
“Pemeriksaan doktor mengesahkan Muammar mengalami keretakan pada tempurung kepalanya serta pendarahan teruk di bahagian otak.
“Selepas selesai pembedahan, dia koma dan memerlukan bantuan mesin pernafasan sehinggalah kira-kira 10 pagi pada Jumaat lalu, doktor mengesahkan peluangnya tipis apabila otaknya tidak berfungsi.
“Ketika itu kami dapat lihat keadaan Muammar sedang nazak apabila tangan kakinya semakin sejuk dan perlahan-lahan menghembuskan nafas terakhir sebelum mesin pernafasan dimatikan pada 11 pagi.
“Sebagai bapa, detik itu memang satu perasaan yang sangat menyayat hati apatah lagi mengenangkan sifatnya yang sangat istimewa bagi kami semua,” katanya.
Sumber: harian metro