Suami kelar isteri & bayi tunggu hari nak bersanding, persiapan semua sudah siap


Berita tentang seorang lelaki yang dipercayai mengelar isteri dan bayi berusia 44 hari siang tadi sememangnya mengejutkan ramai.

Bawa motor bogel lepas kelar isteri dan anak

Mana tidaknya, video lelaki tersebut yang menunggang motosikal tanpa berpakaian dipercayai selepas melakukan tindakan kejam itu tular di media sosial selepas dirakam oleh pemandu yang kebetulan melalui lebuhraya yang sama.

Mangsa yang dikenali sebagai  Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi, Hans Mohd. Thakif Amir, 44 hari  ditemui oleh bapanya  dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bernyawa dipercayai dikelar di leher di Kampung Bakar Batu, tengah hari tadi.

Menerusi Harian Metro, Rosman Ahmad, 58, memaklumkan yang dia menerima panggilan telefon daripada anak sulungnya yang memberitahu terdapat masalah di rumah anak ketiganya yang berusia 26 tahun itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila saya sampai, anak pertama dan kedua sudah ada di sini (rumah keluarga anak ketiga), saya lihat anak perempuan saya terbaring depan pintu rumah dengan luka di leher macam dikelar.
“Cucu lelaki saya, juga terdapat luka di leher, ketika itu ada jururawat sedang mengendongnya. Tetapi, saya difahamkan cucu saya ditemui di sisi ibunya,” katanya.

Difahamkan, Hajar Nursyahirin  dan bayinya telah meninggal dunia ketika ditemui dipercayai dikelar oleh suaminya sendiri yang berusia 25 tahun sebelum suspek bertindak melarikan diri menggunakan motosikal dalam keadaan berbogel.

Bakal bersanding tak lama lagi

Tambah Rosman lagi, sepatutnya anak dan menantunya bakal melangsungkan persandingan pada 24 Julai ini selepas bernikah tahun lalu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan segala persiapan sudahpun dibuat tinggal menunggu hari sahaja.

Jelasnya, anak serta menantunya dilihat sangat bahagia dan langsung tidak menunjukan ada sebarang masalah dalam rumah tangga mereka sejak mereka bergelar suami isteri. Namun, dia mengakui yang menantu mengalami sedikit masalah dalam pekerjaan selepas berhenti dari kerja tetap sejak beberapa bulan yang lalu.

“Anak saya dan menantu memang anak yang baik. Mereka tiada masalah. Saya tidak pernah dengar mereka bergaduh.
“Cuma akhir-akhir ini, saya tahu menantu saya tiada pekerjaan tetap selepas berhenti kerja beberapa bulan lalu. Mungkin dia ada masalah tempat kerja.
“Dulu dia ada buat kerja pembersihan di stadium, lepas itu dia berhenti kerja. Kemudian saya dapat tahu dia hanya kerja sambilan mencuci kapal di Pasir Gudang dan bantu kerja-kerja penyediaan makanan,” ujarnya.
Video Player
00:00
00:11

Setakat ini, suspek telah pun ditahan pihak polis untuk membantu siasatan dan jenazah kedua-dua mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu esok.

Sumber: Harian Metro (Izz Laily Hussein)